All Media Release, Kenyataan Media | BM

Ismail Digesa Bukti Tawaran Bukan Ajak-ajak Ayam

1. Perdana Menteri (PM) baharu YAB Ismail Sabri digesa agar memasukkan 7 cadangan reformasi institusi parlimen dan memerangi Covid-19 seperti mana yang telah dipersetujui oleh Jemaah Menteri dan dibentangkan oleh mantan PM Mahiaddin Yasin pada 13 Ogos ke dalam atur cara Sidang Dewan Rakyat yang akan datang untuk membuktikan bahawa kerajaan ini mengutamakan kepentingan rakyat.
 
2. Ismail merupakan salah seorang ahli Jemaah Menteri Mahiaddin dan merangkap Timbalan Perdana Menteri pada masa itu, bermakna kini beliau wajib melaksanakan setiap cadangan yang dibentangkan oleh Mahiaddin berdasarkan kebertanggungjawab bersama ahli Jemaah Menteri seperti mana yang dinyatakan dalam Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan.
 
3. Keikhlasan beliau untuk mereformasi institusi Parlimen dan hasrat beliau untuk mengutamakan kepentingan rakyat boleh ditunjukkan dan dibuktikan kepada semua melalui pelaksanaan 7 cadangan ini.
 
4. Seterusnya, ia juga akan menyakinkan pihak pembangkang bahawa jemputan beliau yang diutarakan pada 22 Ogos mengenai penyertaaan pembangkang dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatan Kuasa Khas Menangani Covid-19 pada 22 Ogos bukan sekadar ajak – ajak ayam.
5. Tambahan pula, Ismail sepatutnya telah mengemukakan semua maklumat penting mengenai pelaksanaan Majlis dan Jawatan Kuasa tersebut dengan proaktif selepas 24 jam pengumuman beliau melalui platform media sekiranya beliau benar-benar serius dengan tawaran yang diumumkan.

6. Maklumat penting seperti terma rujukan (Term of Reference [TOR]) adalah kandungan utama yang diperlukan dalam rundingan seperti objektif dan struktur organisasi, punca kuasa kerajaan dan peranan pembangkang dalam organisasi, senarai ahli jawatan kuasa dan lain – lain yang berkaitan.

7. Adalah tidak bertanggungjawab sekiranya YAB Ismail Sabri sekadar mengumumkan tawaran kepada pihak pembangkang melalui ruang media tanpa tindakan susulan segera. Ia hanya akan menggoncangkan jiwa rakyat yang telah penat memerangi Covid-19 yang menanti -nantikan penyelesaian kepada kesengsaraan yang dialami.