All Articles, Artikel | BM

Lawan Perkauman Secara Objektif

“Awak setuju bahawa perpaduan kaum boleh dicapai dengan menghapuskan sekolah jenis kebangsaan dan mendirikan Sekolah Wawasan?”. Saya acap kali ditanya soalan ini setiap kali perbincangan mengenai perpaduan nasional ditimbulkan. Berikut adalah pandangan saya.

Sekolah Wawasan merupakan idea Tun Mahathir untuk memperbaiki perpaduan kaum pada 1997. Dan baru-baru ini, beliau mengulangi idea ini pada satu persidangan undang-undang di Petaling Jaya. Konsep Sekolah Wawasan adalah untuk menggalakkan interaksi antara kaum di kalangan kanak-kanak berlainan etnik dengan mengumpulkan pelajar sekolah kebangsaan, sekolah Tamil dan sekolah Cina dalam satu kawasan kompleks sekolah yang sama.

Sikap perkauman bermula dengan cara kita menanggapi orang lain yang berbeza daripada warna kulit kita. Apabila seseorang itu merasakan warna kulitnya lebih mulia berbanding warna kulit orang lain, maka, lahirlah sikap perkauman. Prasangka buruk dan diskriminasi tidak kelihatan sehinggalah ia dizahirkan kepada bentuk gangguan seperti ucapan berbaur kebencian.

Dalam menangani perkara ini, kita boleh melaksanakan langkah pencegahan dan langkah pemulihan untuk melawan sikap perkauman dan memupuk perpaduan kaum. Pertama, kita boleh mendidik kanak-kanak daripada peringkat awal lagi untuk menjadi ‘buta’ kepada warna kulit. Kedua, kita boleh merangka dan melaksanakan undang-undang untuk melindungi warganegara kita daripada sebarang bentuk tindakan diskriminasi tanpa mengira latar belakang dan warna kulit mereka.

Di Australia, Akta Diskriminasi Perkauman 1975 (Racial Discrimination Act 1975) mengharamkan tindakan diskriminasi kerana kaum, warna kulit, keturunan, atau asal-usul negara atau pun etnik. Di United Kingdom pula, Akta Kesamaan 2010 (Equality Act 2010) dan pelbagai undang-undang anti-ucapan berbaur kebencian melarang penzahiran kebencian berdasarkan latar belakang seseorang.

Pendidikan membantu untuk mencipta bakat dan pembinaan kapasiti nasional. Fokus pada masa sekarang sepatutnya adalah untuk menyelesaikan masalah sedia ada dalam sistem pendidikan kita. Kita perlu meningkatkan daya saing pelajar kita, menghapuskan pendekatan belajar secara menghafal, dan memansuhkan kaedah pendidikan berasaskan peperiksaan. Pendigitalan ekonomi global yang semakin meluas memberikan cabaran baru kepada negara kita, dan kita perlu mengutamakan persediaan untuk menghadapi Revolusi Industri Keempat.

Kerajaan juga boleh mempertimbangkan pengenalan pendidikan hak asasi manusia di sekolah. Artikel 2 dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat menjamin bahawa semua manusia dilahirkan bebas dan setaraf daripada segi hak dan maruah tanpa mengira jantina, kaum, bahasa, agama, kedudukan sosial dan lain-lain lagi. Dengan memperkenalkan pendidikan hak asasi manusia, kita akan belajar untuk memahami, menerima, dan menghormati satu sama lain.

Pada masa sama, kerajaan juga boleh menggalakkan organisasi bukan kerajaan untuk melaksanakan pendidikan sivik dan kesedaran tentang hak asasi manusia di kalangan belia di negara ini.

Perpaduan kaum bukanlah tentang menghapuskan sekolah jenis kebangsaan. Ia juga bukanlah tentang memperkenalkan semula Sekolah Wawasan.

Mendukung hak asasi manusia dan menggubal undang-undang anti-diskriminasi adalah jalan ke hadapan buat kerajaan Pakatan Harapan untuk memupuk perpaduan secara lestari dalam jangka masa panjang.

Related Posts