Raikan Ketibaan Syawal dengan Meraikan Proses Menua dengan Bermaruah
Setiap kali Hari Raya tiba, antara detik yang paling menyentuh hati ialah saat kita bersalaman dengan ibu bapa dan memohon maaf.
Dalam budaya Melayu dan Islam, kita menundukkan diri, memohon ampun dan restu daripada orang tua.
Dalam masyarakat Cina pula, ada tradisi memberi minuman teh kepada orang tua sebagai
tanda hormat dan bakti.
Walaupun caranya berbeza, maknanya sama: kita mengakui
kedudukan ibu bapa dan orang tua sebagai sumber kasih sayang, pengorbanan dan
kebijaksanaan dalam hidup kita.
Apabila kita berbicara tentang masyarakat yang penyayang, sebenarnya persoalan yang lebih besar sedang menanti kita semua: Bagaimana kita memastikan orang tua kita dapat menua dengan penuh maruah?
Penuaan sering dibincangkan dari sudut kos kesihatan atau pencen. Tetapi hakikatnya, menua dengan bermaruah membawa makna yang jauh lebih luas.
Menua dengan bermaruah bermaksud warga emas masih merasa dihargai dalam keluarga dan masyarakat.
Menua dengan bermaruah memastikan pengalaman dan kebijaksanaan warga emas terus diraikan.
Dan menua dengan bermaruah dalam masyarakat kita lazimnya bermaksud anak perempuan,
isteri, atau menantu memikul tanggungjawab penjagaan dengan penuh kasih sayang, walaupun dalam diam.
Ketika kita menundukkan kepala memohon maaf di pagi Raya, sebenarnya kita juga sedang diingatkan tentang satu perkara penting: suatu hari nanti, kita juga akan sampai ke usia itu.
Cara kita melayan orang tua hari ini ialah cerminan masyarakat yang kita bina untuk masa depan.
Kerana akhirnya, maruah dalam usia tua tidak datang daripada sistem semata-mata.
Menua dengan bermaruah bermula daripada hati, daripada rasa hormat, dan daripada kasih seorang anak kepada ibu bapanya.