Artikel | BM

REFORMASI TIDAK MATI, HANYA JIWA YANG RAPUH SAHAJA TELAH PERGI

Pengumuman penubuhan parti baharu oleh mantan pimpinan parti baru-baru ini mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan anggota dan penyokong Parti Keadilan Rakyat. Ada yang terkejut, ada yang kecewa, dan ada juga yang melihatnya sebagai sebahagian daripada dinamik biasa dalam sebuah negara demokrasi yang matang.

Sebagai seorang yang bergelumang dalam dunia politik selama 18 tahun, saya melihat perkembangan ini dengan tenang dan rasional. Dalam politik, pemimpin datang dan pergi. Ada yang memilih untuk terus bersama parti, ada yang memilih haluan baharu kerana perkara ini ialah hak yang termaktub dalam sistem demokrasi yang kita amalkan."

Saya menyambut baik penubuhan parti baharu tersebut dan mengucapkan selamat maju jaya kepada rakan-rakan yang memilih untuk meninggalkan parti. Walaupun saya tidak bersetuju dengan keputusan tersebut, saya tetap menghormati pilihan mereka. Perbezaan pandangan dan kewujudan parti baharu adalah sebahagian daripada semangat demokrasi demi kebaikan rakyat dan kemajuan negara.
Hakikatnya, “parti baharu, pilihan baharu” sentiasa kedengaran indah. Kewujudan mereka menambah variasi politik dan mewujudkan persaingan yang sihat dalam negara yang mengamalkan demokrasi.

Namun, sejarah politik Malaysia juga mengajar kita bahawa bukan mudah untuk membina sebuah gerakan politik yang benar-benar bertahan, berkembang dan akhirnya mendapat mandat mentadbir negeri serta negara.
Dalam tempoh lebih tiga dekad, hanya Parti Keadilan Rakyat yang berjaya menempuh perjalanan panjang itu. Daripada gerakan rakyat di jalanan yang bermula 27 tahun dahulu, menjadi pembangkang yang ditekan, dipenjara dan difitnah, sehingga akhirnya berjaya membentuk Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan Anwar Ibrahim.

Pengkhianatan yang kita alami semasa Langkah Sheraton mengajar kita mengenali pemimpin sejati dan membuka mata kita kepada hakikat kesukaran dalam menterjemahkan agenda Reformasi dalam pentadbiran negara.

Episod perpecahan kali kedua sewaktu KEADILAN menjadi kerajaan yang mentadbir negara merupakan proses penyingkiran dan ujian kepada sikap setia dan taat dalam perjuangan yang penuh dengan ujian dan badai ini. Seperti ungkapan dalam novel The Heaven Sword and Dragon Saber oleh JinYong, “他强由他强,清风拂山岗;他横由他横,明月照大江”. Maksudnya, “Biar mereka kuat bagai badai, bagaikan angin sepoi melintasi pergunungan; biar mereka ganas bagai ombak, bagaikan bulan purnama menyinari sungai yang luas.”Begitulah perjuangan yang perlu kita hadapi, tidak rebah oleh amukan lawan, tidak hanyut oleh gelora semasa.

Pada masa yang sama, sejarah juga menunjukkan banyak parti baharu muncul dengan semangat besar, namun akhirnya gagal bertahan sebagai kekuatan politik utama. Parti Pejuang Tanah Air, Parti Bangsa Malaysia, Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air, dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia hari ini sekadar tinggal sebagai catatan kaki dalam nota sejarah politik negara.

Dalam hal ini, bukanlah niat saya untuk memperlekehkan sesiapa. Ini soal realiti politik. Membina parti bukan sekadar mencipta logo, slogan atau gelombang sementara. Ia bukan sekadar majlis pelancaran yang gah dan gemilang. Ia menuntut akar perjuangan, kesabaran luar biasa, disiplin organisasi dan kemampuan untuk terus bersama denyut nadi rakyat dalam tempoh yang panjang.
Kepada akar umbi KEADILAN di seluruh negara, jangan mudah goyah dengan gelora semasa. Parti ini lahir daripada penderitaan rakyat, dibina atas semangat Reformasi dan dipertahankan oleh ribuan anggota biasa yang setia ketika parti tidak memiliki kuasa.Pemimpin datang dan pergi. Reformasi tak mati, yang mati adalah jiwa yang tidak cukup kental dan rapuh.
 
Perjuangan parti tetap sama dalam membela rakyat, memperjuangkan keadilan sosial, memerangi rasuah dan membina negara yang lebih bermaruah. Perkara yang tidak sempurna dalam pentadbiran hari ini, kita akui dengan terbuka. Kita bukan parti yang mendakwa suci atau sempurna. Namun kekurangan itu tidak menghalang kita daripada terus memperbaiki kelemahan dan menjadi kerajaan yang lebih baik dari semasa ke semasa.

Politik bukan tentang siapa paling lantang ketika marah. Politik adalah tentang siapa yang mampu bertahan, membina dan memikul amanah rakyat ketika berdepan cabaran sebenar.
KEADILAN sudah melalui saat paling gelap dalam sejarahnya dan tetap bangkit.

Maka saya percaya, dengan kesetiaan akar umbi dan semangat perjuangan yang tidak pernah padam, parti ini akan terus teguh bersama rakyat demi masa depan Malaysia yang lebih adil dan demokratik.

LOH KER CHEAN
Naib Ketua Wanita KEADILAN

Leave a Reply