Insiden seorang pelajar yang didakwa menyerang seorang guru menggunakan kapak di Kuching yang dilaporkan semalam amat membimbangkan. Saya mendoakan agar guru yang tercedera diberikan kesembuhan segera dan menyeru semua pihak menghormati proses siasatan serta mengelakkan penyebaran semula rakaman kejadian yang boleh menjejaskan mangsa dan pihak terlibat.
Pada masa sama, kejadian ini mengingatkan kita tentang kepentingan membina literasi digital, empati dan rasa tanggungjawab dalam kalangan murid sekolah. Media sosial tidak seharusnya menjadi ruang untuk menormalisasikan keganasan atau menjadikan penderitaan orang lain sebagai bahan tontonan. Ibu bapa, sekolah, komuniti dan penyedia platform digital perlu memainkan peranan bersama dalam membentuk budaya digital yang lebih bertanggungjawab.
Justeru, saya ingin menegaskan semula cadangan penempatan pekerja sosial sekolah bagi membantu guru menangani cabaran sosial dan kesejahteraan murid. Kehadiran pekerja sosial sekolah boleh menjadi penghubung antara murid, keluarga, pihak sekolah dan agensi berkaitan, sekali gus membantu mengenal pasti keperluan sokongan serta memudahkan intervensi awal.
Cadangan ini selari dengan kepentingan memperkukuh pengiktirafan dan pembangunan profesion kerja sosial melalui Rang Undang-Undang Profesion Kerja Sosial 2026. Usaha tersebut wajar disusuli dengan penerokaan laluan kerjaya dan penempatan pekerja sosial di sekolah, aspek latihan serta mekanisme kerjasama yang jelas.
Kita perlu menangani keganasan dengan tegas dan sewajarnya, tanpa terburu-buru membuat kesimpulan tentang punca kejadian. Memahami faktor yang menyumbang kepada tingkah laku berisiko bukan bermaksud membenarkan keganasan, tetapi membantu kita mencegahnya daripada berulang.
Matlamat kita bukan sekadar bertindak selepas tragedi berlaku, tetapi memastikan setiap murid mendapat sokongan yang diperlukan untuk membesar dengan sihat, berempati dan bertanggungjawab.