All Media Release, Kenyataan Media | BM

Justifikasi Diperlukan Bagi Pelaksanaan Kelonggaran Rentas Negeri Sewaktu Setiap 4 minit, Seorang Terkorban

1. Saya menuntut Kerajaan Mahiaddin agar memberikan penjelasan kepada rakyat sebelum pelaksanaan dasar kelonggaran rentas daerah dan negeri bagi pasangan jarak jauh dan ibu bapa yang telah melengkapkan vaksinasi bagi tujuan melawat anak mereka yang akan bermula 10 Ogos nanti.

2. Pertama, bolehkah Kerajaan Mahiaddin memberi jaminan bahawa individu yang telah melengkapkan vaksinasi tidak akan menjadi agen penyebar virus Covid-19 dan varian Delta?

3. Kedua, adakah imuniti kelompok dapat dicapai dengan hanya 26% populasi menerima dos lengkap yang tercatat pada laporan Kementerian Kesihatan (KKM) pada 7 Ogos yang lalu?

4. Ketiga, menurut laporan media KKM pada 17 Julai, aktiviti ziarah menziarahi dipercayai antara punca utama Kluster Rentas Negeri yang tercetus susulan sambutan Hari Raya Aidiladha. Adakah Kerajaan Mahiaddin telah mengambil iktibar daripada insiden tersebut?

5. Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob pula berkata bahawa pelaksanaan dasar ini akan memanfaatkan institusi kekeluargaan dan demi memenuhi hasrat rakyat jelata.

.

6. Sebaliknya, berdasarkan laporan KKM 8 Ogos, negara kita telah mencatat rekod tertinggi dengan kematian seharian seramai 360 orang korban akibat Covid-19 dan 18,688 kes baharu.

7. Angka – angka ini bermakna terdapat seorang pesakit Covid-19 meninggal dunia pada setiap 4 minit dalam tempoh sehari dan puluh ribuan buah keluarga terjejas akibat Covid-19 pada hari tersebut dengan anggapan setiap kes positif mewakili sebuah institusi kekeluargaan.

8. Justeru itu, keputusan Kerajaan Mahiaddin kali ini akan menghancurkan lebih banyak institusi kekeluargaan sekiranya kelonggaran rentas negeri dilaksanakan dan menjadi punca baharu mengakibatkan peningkatan kes positif dan kematian.

9. Kerajaan Mahiaddin yang kehilangan sokongan majoriti haruslah lebih komited dengan mencari penyelesaian yang praktikal untuk memutuskan rantaian Covid-19 kali ini, bukan menjadi populis dan menambah risiko kepada pencetusan kluster komuniti.