Kenyataan Media | BM

Ekonomi Penjagaan: Mempersiapkan Malaysia ke arah Menua dengan Bermaruah

Malaysia sedang menua.
 
Negara kita kini mencatatkan peningkatan jumlah warga emas, dan kenaikan kos sara hidup.

Dalam hal ini, apakah cabaran yang menanti kita?

Negara kini mempunyai lebih ramai warga emas yang memerlukan penjagaan, tetapi pihak yang mampu menjaga mereka berdepan dengan pelbagai cabaran.

Hari ini, ramai anak-anak bekerja siang malam, tinggal jauh dari ibu bapa, dan terhimpit dengan kos kehidupan. Akhirnya, aspek penjagaan menjadi beban senyap dalam keluarga.

Hal ini bukan salah sesiapa kerana ia melibatkan perubahan struktur masyarakat.

Namun, jika kita tidak mula bersedia dari hari ini, kita akan berdepan krisis dalam bentuk pengabaian warga emas, keletihan dalam kalangan penjaga (caregiver burnout), serta peningkatan masalah kesihatan mental.

Di sinilah munculnya keperluan untuk memperkukuh ekonomi penjagaan.

Ekonomi penjagaan bukan sekadar kos semata-mata, sebaliknya, ia merupakan satu bentuk pelaburan ekonomi.

Ramai masih melihat ekonomi penjagaan sebagai beban kewangan. Namun hakikatnya, ia juga boleh menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi negara.

Apabila ekonomi penjagaan diperkukuhkan:
•⁠ ⁠Lebih ramai wanita boleh kembali bekerja
•⁠ ⁠Lebih banyak pekerjaan baharu diwujudkan seperti caregiver, jururawat, pekerja sosial dan pengendali pusat jagaan
•⁠ ⁠Produktiviti negara meningkat kerana rakyat kurang terbeban

Negara seperti Jepun dan negara-negara Nordik telah lama melabur dalam sistem ini melalui pusat jagaan warga emas, ekosistem penjagaan sosial Komuniti, sokongan kepada penjaga keluarga, serta dasar pekerjaan yang fleksibel.
Hasilnya, ekonomi menjadi lebih stabil dan masyarakat menjadi lebih sejahtera.
Justeru, apakah yang perlu kita lakukan sekarang?

Jika kita serius tentang masa depan, kita perlu bergerak daripada sekadar memupuk kesedaran kepada tindakan yang konkrit:

1.⁠ ⁠Insentif untuk penjaga keluarga dalam bentuk elaun, potongan cukai atau sokongan kewangan
2.⁠ ⁠Perluasan pusat jagaan berkualiti dan berkemampuan untuk warga emas, kanak-kanak dan OKU
3.⁠ ⁠Pengukuhan latihan serta profesionalisme penjaga agar ia menjadi kerjaya yang dihormati
4.⁠ ⁠Dasar pekerjaan yang professional dan fleksibel bagi mereka yang memikul tanggungjawab penjagaan
5.⁠ ⁠Jalinan kerjasama menyeluruh antara kerajaan, sektor swasta dan komuniti kerana ini tanggungjawab bersama

Ekonomi penjagaan bukan hanya tentang membina bangunan dan kemudahan semata-mata, tetapi juga tentang memelihara kemanusiaan.

Tuntasnya, cara kita menjaga golongan paling rentan pada hari ini akan menentukan maruah masyarakat kita pada hari esok.