1. Ramai rakyat Malaysia yang terkesan dengan pandemik Covid-19 dan banjir besar kini berada dalam kesengsaraan dan memerlukan bantuan kewangan demi kelangsungan kehidupan dan berharap agar dibenarkan mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sekali lagi.
2. Pada masa sama, pemimpin-pemimpin UMNO menangguk di air yang keruh dengan mendesak Perdana Menteri untuk membenarkan pengeluaran KWSP tanpa membentangkan cadangan penyelesaian yang bersifat jangka panjang. Langkah ini sangat tidak bertanggungjawab dan bersifat populis semata-mata.
3. Laporan Bank Dunia pada November 2020 menyatakan bahawa hampir 75% daripada ahli KWSP mempunyai baki akaun di bawah RM 250,000 pada usia 54 tahun.
4. Malah, keadaan kini bertambah teruk selepas pengeluaran wang KWSP oleh pencarum yang terkesan dengan wabak Covid-19. Ia mengakibatkan hampir 50% daripada pencarum KWSP mempunyai simpanan baki tidak sampai RM10,000.
5. Justeru itu, saya menggesa menteri-menteri dan pemimpin UMNO agar kurang berpolitik dan mengutamakan kelangsungan kehidupan rakyat sekarang dan tempoh jangka masa panjang apabila Malaysia menjadi negara tua menjelang 2030.
6. Kerajaan wajar mengkaji dan melaksanakan beberapa pembaharuan dasar yang disyorkan oleh Bank Dunia dalam laporan kajian “ A Silver Lining: Productive and Inclusive Aging for Malaysia”.
7. Bank Dunia mencadangkan agar umur persaraan dilanjutkan kepada 65 tahun secara berperingkat untuk meningkatkan simpanan KWSP pencarum dan secara tidak langsung meningkatkan KDNK 0.3% setiap tahun.
8. Di samping itu, kerajaan wajar mengkaji pelaksanaan pencen sosial yang dibiayai oleh cukai dan belanjawan tahunan semasa kepada golongan rentan B40 bersasar yang berumur 65 dan ke atas termasuk golongan yang tidak pernah mencarum KWSP.
9. Kajian yang teliti tentang mekanisma untuk menentukan kelayakan dan kadar bayaran pencen sosial amat diperlukan. Contohnya di Australia, syarat permohonan pencen sosial adalah termasuk penilaian aset yang dimiliki individu atau pasangan, ujian pendapatan kewangan individual atau pasangan, umur dan tempoh menetap di dalam negara.
10. Kadar pencen sosial akan ditentukan bergantung kepada nilai rumah dimiliki oleh pemohon dan jumlah pendapatan daripada semua sumber. Langkah – langkah ini adalah untuk mencegah penyalahgunaan pencen sosial.
11. Selain itu, Kerajaan harus menggalakkan industri pekerjaan swasta dan awam mewujudkan perjawatan kerja sambilan untuk meningkatkan penglibatan pekerja berusia.
12. Kerajaan juga wajar menitik berat pembangunan perkhidmatan penjagaan sosial dan kesihatan warga emas dalam komuniti dengan mengutamakan perkhidmatan penjagaan sosial dan kesihatan warga emas di rumah yang bersubsidi, berkualiti dan profesional.