Kenyataan Media | BM

MENILAI KEPIMPINAN BERDASARKAN AMANAH DAN PRESTASI, BUKAN SENTIMEN KAUM

 
Pelantikan Menteri dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dalam kalangan masyarakat Cina telah mengundang pelbagai reaksi dalam ruang awam. Perbincangan ini mencerminkan kepekaan masyarakat terhadap soal kepimpinan, namun ia menuntut kita untuk kembali menghayati asas kenegaraan yang telah dipersetujui bersama sejak pembentukan negara.

Dalam sebuah sistem demokrasi berperlembagaan, kepimpinan tidak sewajarnya dinilai berdasarkan warna kulit atau asal usul kaum. Sebaliknya, ia mesti diukur melalui amanah yang dipikul, sumpah jawatan yang dilafazkan, serta kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara. Inilah pasak kepercayaan rakyat terhadap institusi dan kestabilan negara.

Malaysia tidak dibina atas sentimen sempit atau dominasi satu kelompok ke atas kelompok yang lain. Sejak merdeka, kita memilih jalan kerukunan dalam kepelbagaian dengan berpegang kepada prinsip saling menghormati, keadilan, dan tanggungjawab bersama. Prinsip inilah yang menjamin keamanan dan kemenjadian negara sehingga hari ini.

Sebagai Naib Ketua Wanita KEADILAN, saya melihat keperluan rakyat daripada pelbagai latar belakang adalah sama. Mereka mendambakan perlindungan sistem yang adil, pentadbiran yang berhemah, serta kepimpinan yang berintegriti dan beradab. Inilah kayu ukur sebenar bagi sebuah kepimpinan dalam negara berdaulat.

Saya juga menyambut baik aspirasi Perdana Menteri merangkap Presiden Parti Keadilan Rakyat yang ingin menterjemahkan nilai kepelbagaian menerusi rombakan Kabinet yang baharu diumumkan.

Wilayah Persekutuan, sebagai pusat pentadbiran dan wajah Malaysia, harus dipimpin dengan semangat kenegaraan yang tinggi. Kepimpinannya perlu meraikan kepelbagaian, menjunjung keluhuran Perlembagaan, serta memastikan setiap dasar berpaksikan kepentingan rakyat dan kedaulatan undang-undang.

Perbahasan awam yang matang tidak seharusnya tersasar ke arah pertikaian identiti yang boleh menghakis keharmonian nasional. Tumpuan kita mestilah terarah kepada persoalan akauntabiliti, sejauh mana kepimpinan yang dilantik mampu melunaskan amanah, bekerja merentas perbezaan, dan meletakkan kepentingan negara mengatasi sentimen perkauman.

Inilah masanya untuk kita membuktikan kematangan politik sebagai sebuah bangsa. Malaysia akan terus kukuh apabila kita berpegang kepada prinsip kenegaraan yang sama, menilai kepimpinan berdasarkan prestasi, serta memelihara kesatuan nasional demi masa depan yang stabil, adil dan bermaruah.
LOH KER CHEAN
Naib Ketua Wanita KEADILAN