All Media Release, Kenyataan Media | BM

Pertimbangkan Rebat Bil Utiliti dan Pengecualian Cukai Pintu bagi Meringankan Beban Mangsa Banjir

1. Mengambil kira impak kewangan yang dihadapi oleh mangsa banjir di seluruh negara, rebat utiliti atau pengecualian bayaran di bawah Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) wajar dipertimbangkan oleh pembekal – pembekal perkhidmatan ini.

2. Saya mencadangkan agar rebat bil air dan elektrik sebanyak RM200 diberikan kepada mangsa banjir yang memiliki rumah, RM500 kepada mangsa banjir yang memiliki lot kedai atau rumah kedai dan RM1500 kepada pemilik-pemilik kilang.

3. Di samping itu, perkhidmatan jalur lebar percuma diberikan oleh pembekal perkhidmatan kepada mangsa banjir selama tiga bulan. Saya juga mencadang bahawa kerajaan negeri boleh mempertimbangkan untuk mengecualikan cukai pintu premis mangsa banjir selama 6 bulan.

4. Pengecualian dan rebat bil ini hanyalah bantuan kewangan yang kecil berbanding dengan kerugian besar ratusan ribu yang dialami oleh orang ramai, para pengusaha dan peniaga akibat kerugian daripada kemusnahan perabot dan kelengkapan kerana banjir.

5. Oleh itu, agensi kerajaan dan sektor swasta digesa agar membantu untuk meringankan tekanan kewangan yang dihadapi oleh mangsa banjir di seluruh negara sebagai satu bentuk khidmat negara pada masa-masa getir ini. Ibarat kata pepatah, yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing.