All Media Release, Kenyataan Media | BM

Darurat Banjir: Kerajaan Gagal Biar NGO dan Ketua Pembangkang Menerajui NADMA dan MKN

1. Selepas saya menyertai misi bantuan pasca banjir di Hulu Langat dan Taman Sri Muda pada minggu lalu, saya mendapati bahawa keadaan pasca banjir adalah membimbangkan walaupun mempunyai ramai sukarelawan dari seluruh negara datang membantu dan pihak berkuasa tempatan yang mengerahkan segala sumber untuk membersihkan kawasan terkesan.

2. Namun, perkembangan pembersihan persekitaran kawasan banjir masih lambat dan mengakibatkan mangsa banjir terpaksa bertahan hidup dengan bau busuk daripada sampah sisa banjir yang dibuang di halaman rumah dan hidup di persekitaran yang buruk sementara menunggu pelupusan sampah.

3. Memandangkan kekangan sumber dan aset yang dihadapi oleh persatuan bukan kerajaan (NGO), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan negeri, pihak kerajaan pusat seharusnya telah mengerahkan lebih sumber manusia dan aset dari seluruh negara dalam usaha mempercepatkan pembersihan kawasan terkesan.

4. Kerahan daripada Agensi dan jabatan kerajaan persekutuan seperti Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) boleh mempercepatkan proses pembersihan dan pelupusan sampah untuk memulihkan persekitaran yang sihat dan bersih bagi penduduk – penduduk terkesan.

5. Kepimpinan dan sistem pentadbiran negara teruji oleh bencana yang berskala besar ini, kelemahannya mudah menonjol dan memerlukan tindakan segera untuk penambahbaikan demi kelangsungan rakyat hidup seperti biasa.

6. Inilah nasib rakyat Malaysia di bawah kerajaan yang dipimpin oleh konco – konco Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) yang mencabuli demokrasi daripada rakyat.

7. Sudahlah berdepan banjir dan tidak dibantu dengan segera, menteri-menteri pula hilang bercuti ke luar negara bersenang – lenang. Menteri yang ada pula, bermain ‘wayang’ untuk kempen perhubungan awam mereka.

8. Perdana Menteri mahupun Menteri terbukti gagal bukan sahaja pada awalnya misi menyelamatkan mangsa banjir tetapi juga gagal teruk misi bantuan pasca banjir.

9. Jika kerajaan pusat cuma duduk dan lihat, berharap agar NGO dan sokongan peribadi masyarakat sahaja dalam hal ini, baik mereka meletakkan jawatan dan memberikan laluan kepada NGO atau Ketua Pembangkang untuk mentadbir urus negara ini dan menerajui NADMA, MKN.