All Media Release, Kenyataan Media | BM

Rakyat Menuntut Pembelaan: Mahiaddiin Wajib Bertanggungjawab Sepenuhnya

1. Saya menggesa agar Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) menyiasat kesahihan pendedahan krisis Covid-19 yang dihadapi oleh kakitangan di hospital di Lembah Klang melalui klip video yang tular di media sosial sejak 11 Julai yang bertajuk “Frontliners Reveal Truth About the Covid-19 Crisis in Klang Valley Hospitals” kerana Kerajaan Mahiaddin dituduh melanggar hak asasi rakyat mengakses kepada fasiliti kesihatan yang baik dan informasi yang sahih.
 
2. Adalah penting kesahihan pendedahan klip video tersebut disiasat dan dikenalpasti oleh pihak ketiga iaitu SUHAKAM kerana dakwaan tersebut menuduh Kerajaan Mahiaddin melanggar hak asasi manusia dan memperlekehkan nyawa warganegara sepanjang pemerintahan Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin.
 
3. Antara pendakwaan utama daripada klip video tersebut adalah:
 
Pertama, Kerajaan Mahiaddin memanupulasi data dan mengumumkan maklumat palsu tentang situasi Covid-19 khususnya bilangan kematian mangsa Covid-19 yang selama ini adalah jauh lebih rendah daripada realiti.
 
Kedua, Kementerian Kesihatan tidak memberi sokongan penuh dan menyulitkan keadaan dengan prosedur birokrasi terhadap permintaan oleh frontliners yang mahu menyelamatkan nyawa warganegara. Hal ini termasuklah isu kekurangan pekerja perubatan, kekurangan bekalan ubat khas yang mengubati pesakit Covid-19, kekurangan tangki oksigen, dan kekurangan kelengkapan perubatan.
 
Ketiga, Kerajaan Mahiaddin memperlekehkan nyawa dan usaha frontliners yang mencuba sedaya upaya memerangi penularan wabak Covid-19 dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang separuh masak dan strategi yang salah mengakibatkan lebih banyak nyawa terkorban.
 
 
 

Keempat, pelanggaran hak asasi manusia frontliners dan hak pekerja oleh majikan seperti petugas tidak diberikan masa rehat yang mencukupi dan terdedah kepada risiko jangkitan virus Covid-19 kerana kecuaian Kerajaan Mahiaddin khususnya doktor kontrak yang selalu diagihkan tugasan pada saat terakhir.


Kelima, lebih ramai pesakit bukan covid-19 dijangka akan terkorban kerana keadaan teruk di hospital menyebabkan kekurangan unit ICU di hospital bagi menampungkan keperluan pembedahan bagi pesakit yang berada dalam keadaan kritikal.


4. Dakwaan ini bukan sahaja membuktikan kegagalan Kerajaan Mahiaddin dalam memerangi penularan wabak Covid – 19 selama 17 bulan ini tetapi juga menonjolkan sikap Menteri – Menteri yang tidak berintegriti sampai sanggup menipu rakyat dengan maklumat palsu, sekiranya semua dakwaan dalam klip video adalah benar.


5. Mahiaddin dan ahli kabinetnya wajib bertanggungjawab sepenuhnya terhadap penderitaan dialami oleh rakyat dan nyawa yang terkorban akibat wabak Covid-19 dengan mengambil tindakan susulan atas sebarang hasil siasatan SUHAKAM nanti dengan kadar segera dan wajar turun padang ke hospital di Lembah Klang serta – merta untuk meninjau dan memberi penjelasan kepada rakyat situasi sebenar.


Loh Ker Chean
Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN

Related Posts