All Articles, Artikel | BM, Teks Ucapan | Speech | 讲稿

Konvensyen Keadilan & Kemerdekaan Permatang Pauh

Teks Ucapan Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN

Konvensyen Keadilan & Kemerdekaan 30 Ogos 2020 Dewan Yayasan Aman, Penanti

Kemerdekaan Minda Anak Muda

Salam Reformasi,

Salam Sejahtera, 大家晚上好,Vannukum

Tuan Pengerui Majlis

Ketua Cabang Permatang Pauh, YB Nurul Izzah Anwar, Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Pulau Pinang, YB Baktiar Ketua Biro Guaman dan Komuniti Wanita KEADILAN Puan Fadhlina Sidek

pimpinan cabang, angkatan muda, wanita, anggota parti yang bersama dengan kita malam ini.

Izinkan saya memulakan ucapan saya dengan dua rangkap pantun:

Salam reformasi saudara-saudari, Buatkan kita satu hati, Loh Ker Chean nama diberi, Tapi KC lebih mesra diingati.

Yayasan aman penuh kenangan, Pertama ku jejak pada 2008, Menjadi saksi detik kemenanagan, Dato Seri kembali bawa harapan.

Nama saya Loh Ker Chean, rakan – rakan dalam parti lebih suka memanggil saya KC. Pada saya, saya amat mengalu – alukan panggilan ini kerana tanpa bertanding dalam pemilihan, saya sudah menjadi KC, ketua cabang yang tetap sampai bila – bila masa.

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada YB Nurul izzah atas jemputan ke konvensyen malam ini, para hadirin yang sudi menyambut kehadiran saya dan meluangkan masa mendengar perkongsian saya malam ini.

Tuan – tuan dan Puan -puan,

1. Pada Malam ini, saya ingin berkongsi sedikit sebanyak cerita saya bersama dengan KEADILAN dan kenapa saya memilih parti ini.

2. Saya menyertai Parti ini selepas pengalaman berkempen saya bersama pasukan KEADILAN cabang Bayan Baru pada PRU-12 tahun 2008 secara sukarela. Pengalaman kempen pertama saya itu terpahat dalam ingatan saya sampai sekarang.

3. Ia sentiasa mengingatkan saya kenapa saya memilih Parti KEADILAN Rakyat.

4. Ketika kempen PRU, gerak gempur lawatan rumah ke rumah biasanya akan dijalankan oleh sukarelawan dan jentera cabang. Dalam proses ini, saya dapat belajar tiga benda mengenai Parti KEADILAN Rakyat pada masa itu.

5. Pertama, menanam dan memupuk sifat empati dalam anggota dan pemimpin parti. Contohnya, aktiviti lawatan rumah ke rumah dalam rombongan yang berbilang kaum dan latar belakang.

6. Dengan pengalaman ini, ia membolehkan kita untuk membayangkan kita sendiri di situasi orang lain dan rasa kesusahan atau kesulitan yang dialami mereka.

7. Sifat empati ini penting kerana ia membolehkan kita untuk memahami dan berkongsi perasaan dan penderitaan orang lain. Baru, kita boleh menjadi pemimpin atau pembuat dasar yang inklusif dan mendukung nilai kepelbagaian.

8. Kedua, budaya keharmonian dan perpaduan yang diperlihara dalam cabang, walaupun kita mempunyai ramai sukarelawan dan anggota yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan lapisan masyarakat.

9. Ketiga, budaya perbincangan yang objektif. Segala perbincangan yang tertimbul adalah fokus kepada penyelesaian dengan menumpu kepada matlamat yang sama, iaitu menjaga kualiti kehidupan dan kesejahteraan rakyat.

10. Tetapi, lambat – laun satu lagi budaya yang buat saya terkejut juga. Iaitu, pertengkaran pun berlaku dengan objektif. Apabila wujudnya pertengkaran dalam mesyuarat, apabila geng yang merajuk dan keluar dari bilik mesyuarat, pun komposisi yang campuran, ada melayu and cina ada india.

11. Sebab, perbincangan yang mewujudkan pertengkaran adalah berlaku di atas pembezaan pendapat dan idealisme.

12. Ia bukan persoalan siapa yang tidak cakap bahasa melayu dengan fasih atau tidak. Ia bukan persoalan siapa yang dari sekolah vernukular atau kebangsaan.

Tuan – Tuan dan Puan – puan,

13. Itulah sebab saya memilih parti KEADILAN rakyat. Parti yang meraikan kepelbagaian yang berasas sifat empati.

14. Kita tidak perlu berada dalam situasi yang sama untuk memahami dan berkongsi perasaan orang lain. Contohnya, isu wanita tidak semestinya disuarakan oleh golongan hawa sahaja dan suara anak muda tidak semestinya dibawakan oleh wakil anak muda sahaja.

15. Sama juga dengan isu kemiskinan, cabaran hidup sebagai golongan kelainan berupaya, serta diskriminasi berasaskan kaum dan agama. Seorang ahli politik atau pemimpin yang baik mempunyai sifat empati dan berupaya untuk merasai dan memahami sesuatu isu daripada sudut pandang orang lain.

16. KEADILAN adalah wadah politik yang melahirkan pemimpin sebegini.

17. Saya beri satu contoh lagi, KEADILAN ditubuhkan menerusi gerakan Reformasi yang tercetus selepas penganiayaan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998. Rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang merasai penderitaan yang dialami Anwar. Mereka turun ke jalan raya berdemonstrasi bagi berkongsi penderitaan dan rasa teraniaya yang mengisi wacana nasional pada masa itu.

18. Adakah saudara saudari Otai reformasi pada masa itu duduk di tempat Datuk Seri? Adakah anak muda sekarang yang terlepas zaman itu tidak lagi berpendapat keadilan kepada seseorang manusia adalah penting?

19. Tidak.

20. Tapi, sifat empati yang dalam manusia itu, yang membolehkan kita berkongsi penderitaan Datuk Seri dan keluarganya, perasaan yang difitnah, ditindas oleh pemerintah pada masa itu.

Tuan – tuan dan Puan -puan,

21. Izinkan saya menyentuh satu isu yang kembali heboh baru – baru ini iaitu mansuhkan sekolah vernacular demi perpaduan negara.

22. Persoalan saya ialah Unity untuk apa? Perpaduan negara itu untuk apa?

23. Seperti mana yang diterangkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada pimpinan anak muda yang belajar di United Kingdom, pada awal bulan ini.

24. Beliau pesan anak muda supaya bertanya diri sendiri atas dasar apa kita bersatu? Pada persidangan tersebut, Datuk Seri berkata bahawa definasi perpaduan negara dan rakyat pada Pakatan Harapan adalah bersepadu untuk menolak regim yang korup, reflect change dan melaksanakan agenda reformasi yang bermakna.

25. Pada pendapat saya, dalam situasi wabak Covid virus ini yang masih menular, kekuatan perpaduan negara yang kita ingini adalah tumpu kepada membentuk norma baharu yang menjaga kesejahteraan, kualiti kehidupan semua rakyat Malaysia dan paling penting adalah pemulihan ekonomi.

26. Di sini, saya ingin menarik perhatian Tuan – tuan dan puan – puan bahawa sifat empati dalam hati ahli politik itu penting kerana sifat ini tidak menjadikan perbezaan bahasa, agama dan warna kulit sebagai halangan perpaduan.

27. Saya lepasan sekolah jenis kebangsaan cina, saya tetap Anak Malaysia.

Tuan – tuan dan Puan – puan yang saya hormati,

Pembebasan minda atau dalam bahasa Arab – Hurriyatul Fikr yang perlu dilakukan dalam diri kita, terutamanya anak muda. Kita harus mencungkil sifat empati daripada diri kita dan mencari penyelesaian kepada isu lama secara holistik untuk membentuk masa depan kita.

Anak muda digesakan keluar daripada kongkongan idea sempit, seperti kaum, kelas sosial, gender dan agama.

Kemerdekaan minda inilah yang akan melahirkan pemimpin muda yang bersifat empati dan membawa perubahan dan memimpin rakyat Malaysia maju ke hadapan.

Izinkan saya menutup ucapan saya dengan serangkap pantun:

Malam Merdeka tiba lagi, Meriah bersulam laungan reformasi, Agenda reformasi yang berasas nilai empati, Tiada seseorang rakyat Malaysia dipinggiri,

Sekian, terima kasih. 谢谢大家。Nandri Vannukum