All Articles, Artikel | BM

Bubar Sayap Wanita Dalam Wadah Politik?[2]

Kita memperjuangkan kesaksamaan gender dan bukan kesamaan gender. Oleh itu, dalam kita membahaskan topik kesaksamaan gender, tumpuan sepatutnya kembali kepada asas iaitu sifat semulajadi gender masing – masing. Kaum wanita dan kaum lelaki mempunyai pembezaan dari segi biologi dan fizikal, keperluan mereka juga berbeza.

Salah satu pembezaan yang nyata ialah hanya kaum wanita diberi anugerah berpeluang untuk hamil dan melahirkan zuriat. Sifat penyayang dan keibuan di kalangan kaum wanita adalah fitrah dan akan menguat apabila bermula kehamilan.

Jadi, adalah tidak hairanlah jika kaum wanita memilih untuk meninggalkan medan kerjaya mereka untuk membesarkan anak walaupun diberi pilihan, kemudahan dan sebagainya.

Persoalannya ialah, patutkah pilihan sebegini dianggap suatu bentuk kerugian keatas wanita apabila memlilih menjadi ibu sepenuh masa dan menangguhkan prospek dan pembangunan kerjaya? Atau, ia merupakan suatu kerugian yang dialami oleh negara kerana kehilangan bakat-bakat wanita?

Saya kurang setuju. Kenapa? Sepertimana yang saya pernah tegaskan bahawa keluarga merupakan unit asas kukuh bagi membina negara. Jika salah seorang ibu atau bapa ingin menumpukan kepada pengasuhan dan pendidikan anak mereka dan bukan kerjaya mereka pada masa tertentu, kita patut menyambut baik dan menyokong hasrat ini.

Walaupun hasrat sebegini mendatang lebih kebaikan daripada keburukan dalam memelihara kesejahteraan keluarga, tetapi ianya dilihat sebagai salah satu faktor mengakibatkan penurunan kadar penyertaan tenaga buruh.

Peka kepada keperluan rumah tangga dan pendekatan baharu untuk meningkatkan kadar penyertaan tenaga buruh

Menurut statistik status guna tenaga mengikut gender daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), guna tenaga kaum wanita kelas “pekerja” ialah 77.7% pada tahun 2010 tetapi menurun ke 72.8% pada tahun 2017, kadar sebanyak 4.9%. Manakala, kadar guna tenaga kaum wanita kelas “bekerja sendiri” telah meningkat dengan mendadak sebanyak 5.5% daripada 12.3% (2010) ke 17.8%(2017).

Dari situ, apa yang boleh kita dapati ialah trend kegiatan ekonomi kaum wanita makin berkembang dalam sektor bekerja sendiri. Merujuk kepada laporan Khazanah Research Institute (KRI) 2018, statistik DOSM menunjukkan kadar kaum wanita memilih bekerja sendiri semakin meningkat.

Dengan perkembangan ini, kebebasan masa dan flexibiliti di antara rumah tangga dan pekerjaan merupakan unsur pertimbangan yang penting dalam perancangan rumah tangga. Oleh itu, dasar kerajaan perlu lebih peka terhadap keperluan ini untuk meningkatkan kadar penyertaan tenaga buruh sama ada kaum wanita atau kaum lelaki demi meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) secara langsung.

Pendekatan baharu seperti konsep dan budaya perkitaran guna tenaga boleh disyorkan dalam pelbagai sektor pekerjaan. Contohnya menwujudkan lebih jawatan kontrak dan kerja sambilan kontrak. Jawatan kontrak jangka masa pendek setahun hingga tiga tahun mengizinkan majikan mengisi jawatan kosong pekerja yang memohon untuk mengambil cuti panjang.

Pada masa yang sama, dinamik budaya pekerjaan akan berubah menjadi lebih mesra kepada perancangan rumah tangga muda atau ia juga memberi peluang kepada graduan universiti untuk mengambil pengalaman bekerja.

Sementara itu, kebajikan dan perlindungan mereka yang berkerja sendiri juga perlu diperhatikan supaya mereka boleh berasa lebih selamat memilih jalan ini. Contohnya seperti membuat kempen kesedaraan mendorong individu yang bekerja sendiri untuk mencarum dengan KWSP dan PERKESO secara sukarela demi perlindungan keselamatan sosial sendiri dan keluarga.

Penuaan penduduk adalah cabaran rumah tangga dan individu yang makin berusia

Dalam kita membincangkan pelbagai jenis sistem sokongan untuk individu dan keluarga, kita tidak boleh meninggalkan aspek sokongan bagi menangani penuaan individu dan warga emas. Hal ini masih belum biasa dibicarakan namun sangat penting untuk memastikan kesejahteraan individu dan keluarga induk khususnya.

Tanggungjawab bersama antara ahli keluarga, selain daripada membesar anak – anak adalah untuk menjaga ibu bapa yang makin tua. Kerja penjagaan tidak formal ini merupakan salah satu faktor yang perlu dipertimbangkan oleh sesebuah perancangan rumah tangga dan ianya juga menyebabkan kadar penyertaan tenaga kerja menurun.

Tambahan pula, berdasarkan unjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (2009), Malaysia akan mencapai status negara tua pada tahun 2030 apabila penduduk berusia 60 tahun ke atas mencapai 15 peratus daripada jumlah penduduk. Sistem sokongan baharu penjagaan kesejahteraan warga emas yang lestari perlu diwujudkan. Sistem ini tidak harus hanya tertumpu kepada keluarga yang memiliki ahli warga emas tetapi juga kepada warga emas yang duduk sendiri.

Secara keseluruhannya, adalah penting untuk kerajaan mempelbagaikan pilihan sistem sokongan atau sistem kebajikan yang berasaskan keperluan rumah tangga dan membolehkan rumah tangga membuat pilihan “mix and match” yang bersesuaian dengan keperluan mereka.

Dasar kerajaan menjaga kesejahteraan setiap individu di setiap peringkat

Isu – isu yang melibatkan kaum wanita bukanlah tanggungjawab tunggal atau “hak keistimewaan” dituanan oleh kaum wanita. Ia bukan sesuatu yang patut diambil berat oleh pimpinan wanita sahaja atau diharapkan boleh diselesaikan dalam lingkungan gender sendiri.

Pembebasan minda perlu berlaku di kalangan politikus tanpa kira gender, terutamanya dalam proses mengendali punca kepada masalah dan membuat dasar – dasar penyelesaian.

Isu wanita merupakan isu rumah tangga, isu masyarakat sosial dan isu negara. Pendekatan kesejahteraan individu, rumah tangga, masyarakat adalah asas kepada semua perjuangan kemanusiaan termasuk hak asasi wanita.

Dasar kerajaan harus dilakar untuk menjaga kepentingan dan kesejahteraan setiap individu pada setiap peringkat kehidupannya, ia bermula dengan kelahiran, kanak – kanak, anak muda, dewasa, menua, meninggal dunia sehingga dikuburkan.

Jikalau pimpinan pusat tanpa kira gender dalam wadah politik sudi mengambil pendekatan sebegini yang bersifat empati untuk mereformasi institusi dan membentuk norma baharu demi kelestarian kesejahteraan rakyat yang termasuk kaum wanita, sayap wanita boleh dibubarkan jika tahap fahaman ini telah tercapai secara holistik.