1. Saya berpendapat bahawa perubahan dasar yang diumumkan oleh Perdana Menteri Ismail Sabri seperti pemansuhan Approved Permit (AP) bagi pengimportan makanan dan penghapusan orang tengah dalam rantaian bekalan makanan adalah secara terburu – buru dan membuktikan Ismail Sabri sebenarnya tidak pernah pandang serius krisis sekuriti makanan.
2. Amaran krisis sekuriti makanan akibat wabak Covid-19 telah diberikan seawalnya tahun 2020 dan isu ini bukan suatu perkara baharu, kini menjadi isu tumpuan dunia selepas pencetusan peperangan Russia dan Ukraine.
3. Dengan perkembangan hari ini, terbukti Jawatankuasa Jaminan Sekuriti Makanan yang ditubuhkan pada tahun 2020 dalam usaha menyiapsiaga negara kita untuk mendepani krisis sekuriti makanan hanya satu slogan mainan politik yang mengabaikan kepentingan dan kebajikan rakyat.
4. Kita seluruh rakyat Malaysia sebenarnya menanti – nantikan pengumuman dasar, perancangan dan tindakan holistik dalam jangka masa pendek dan panjang untuk menangani krisis sekuriti makanan negara dan isu ini tidak akan diselesaikan dengan hanya pengumuman ringkas sedemikian sahaja. Ini adalah ibarat solusi “Panadol”.
5. PM harus membentangkan pelan tindakan dengan pendekatan Keseluruhan Kerajaan (Whole-of-government approach) untuk menangani krisis sekuriti makanan dan mengadakan sesi konsultasi bersama semua pemegang taruh yang terlibat dalam rantaian bekalan makanan, dan juga membentangkan di Sidang Parlimen Khas pada kadar segera supaya mencari penyelesaian bersama – sama tanpa mengira fahamam politik demi kepentingan rakyat.
Loh Ker Chean
Pengarah Komunikasi Wanita Pusat
Mantan Setiausaha Sulit kepada Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani