Kenyataan Media | BM

Kerajaan Wajar Pertimbang Jawatan Pekerja Sosial Sekolah Bagi Tangani Krisis Buli Dan Kesihatan Mental

1. Rentetan beberapa insiden tragis melibatkan murid di sekolah kebelakangan ini, kita perlu mengakui bahawa isu buli, keselamatan dan kesihatan mental murid tidak boleh dilihat semata-mata sebagai isu disiplin sekolah.

2. Guru dan pentadbir sekolah berada di barisan hadapan, tetapi mereka tidak seharusnya dibebankan dengan tanggungjawab menangani masalah sosial dan psikologi yang semakin kompleks seperti buli, tekanan emosi, konflik keluarga, penderaan dan masalah kesihatan mental.

3. Apabila insiden terus berlaku, pendekatan sedia ada perlu dinilai semula. Kita tidak boleh sekadar bertindak selepas tragedi berlaku.

⁠4. Saya amat bersetuju dengan kenyataan YAB Perdana Menteri semasa sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (PMQT) hari ini, bahawa solusi kepada isu-isu di sekolah memerlukan penglibatan semua pihak dan bukan warga pendidik sahaja.

5. Justeru, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) perlu tampil membantu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kepakaran dalam bidang perlindungan kanak-kanak, kerja sosial, dinamika keluarga dan intervensi kesihatan mental.

6. Antara langkah yang wajar dipertimbangkan ialah pewujudan jawatan pekerja sosial sekolah (school social worker) secara berperingkat, khususnya di sekolah yang berkeperluan tinggi.

7. Pekerja sosial boleh menjadi penghubung antara murid, keluarga, sekolah, agensi kebajikan dan perkhidmatan kesihatan mental. Kehadiran pekerja sosial profesional di sekolah akan membina sistem intervensi awal yang kukuh bagi memastikan kebajikan dan nyawa murid sentiasa dilindungi oleh pakar bertauliah sebelum terlewat.

8. Kita menghargai usaha guru dan warga sekolah, tetapi kita juga perlu berani mengakui bahawa sistem sokongan sedia ada memerlukan pengukuhan. Jika masalah yang sama terus berulang, bukan sahaja murid yang perlu diberi perhatian, malah pendekatan kita juga perlu berubah.

9. Kerajaan wajar memperkukuh mekanisme kerjasama antara KPM dan KPWKM bagi membangunkan kerangka intervensi sosial dan kesihatan mental murid yang lebih menyeluruh.

10. Anak-anak kita bukan sekadar perlu dilindungi selepas sesuatu insiden berlaku. Mereka memerlukan sistem sokongan yang mampu mengesan, mencegah dan menangani masalah sebelum ia bertukar menjadi tragedi. KPWKM perlu tampil membantu KPM demi memastikan sekolah benar-benar menjadi tempat paling selamat untuk anak-anak kita.

LOH KER CHEAN
Naib Ketua Wanita KEADILAN

Leave a Reply