Kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh, yang mempersoalkan tentang pihak yang akan menanggung kenaikan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan membangkitkan satu persoalan yang wajar dijawab.
Namun, persoalan itu tidak seharusnya dijadikan alasan untuk melambatkan usaha meningkatkan pendapatan pekerja Malaysia.
Selama ini, rakyat berdepan tekanan kos sara hidup ketika pendapatan tidak meningkat seiring dengan harga barang dan perkhidmatan. Gaji minimum bukan jaminan bahawa setiap pekerja akan terus hidup selesa, tetapi ia merupakan lantai perlindungan pendapatan supaya pekerja tidak terus terperangkap dalam pekerjaan bergaji rendah.
Persoalan yang lebih besar ialah bagaimana negara mahu memastikan hasil pertumbuhan ekonomi turut dinikmati oleh mereka yang menggerakkan ekonomi setiap hari.
Sedarkah Akmal bahawa kenaikan gaji minimum ini juga akan memberi manfaat kepada golongan B40 yang bekerja dan menerima gaji minimum?
Bagi pekerja berpendapatan rendah, tambahan RM300 sebulan boleh membantu menampung perbelanjaan dapur, pengangkutan, bil utiliti dan keperluan anak-anak. Dalam keadaan kos sara hidup yang terus menekan, tambahan pendapatan ini bukan perkara kecil.
Kita tidak boleh terlalu tertumpu pada kemungkinan kenaikan kos kepada majikan sehingga terlupa bahawa pekerja daripada keluarga berpendapatan rendah juga perlu membayar bil dan menyara keluarga.
Membela peniaga dan perusahaan kecil itu penting, tetapi kebajikan pekerja B40 juga tidak boleh diketepikan.
Kebimbangan bahawa sesetengah majikan mungkin memindahkan kos tambahan kepada pengguna perlu ditangani melalui penguatkuasaan terhadap pencatutan, pemantauan harga dan sokongan bersasar kepada perusahaan yang benar-benar terkesan.
Malah, Belanjawan 2027 sendiri memberikan ruang penyesuaian kepada PMKS dengan jualan tahunan di bawah RM50 juta. Perincian pelaksanaan dan keberkesanan pengecualian ini wajar dipantau supaya kepentingan pekerja dan kelangsungan perniagaan dapat dipelihara.
Namun, kita juga perlu bertanya: jika kenaikan gaji pekerja sentiasa dianggap sebagai ancaman kepada harga barang, bilakah pendapatan pekerja akan meningkat secara bermakna?
Tidak wajar pekerja terus diminta berkorban sedangkan persoalan keuntungan syarikat, produktiviti dan pembahagian hasil pertumbuhan ekonomi tidak diberikan perhatian yang sama.
Kenaikan gaji minimum bukan penyelesaian tunggal kepada kos sara hidup. Ia perlu disertai dasar peningkatan produktiviti, latihan kemahiran, penguatkuasaan persaingan yang adil dan peluang pekerjaan bergaji lebih baik. Kerajaan juga perlu menerbitkan data berkala tentang perubahan harga, pekerjaan dan pendapatan bagi menilai kesan dasar ini secara telus.
Prinsipnya mudah: kita tidak boleh membina ekonomi yang kukuh dengan mengharapkan pekerja terus menerima upah yang rendah.
Tanggungjawab kerajaan ialah memastikan kenaikan pendapatan benar-benar meningkatkan taraf hidup rakyat, sementara majikan mendapat sokongan yang munasabah untuk menyesuaikan operasi dan meningkatkan produktiviti.
Kepada Akmal, kalau kemaruk sangat mahu kembali jadi abang besar dalam kerajaan, fahami dahulu asas-asas Makroekonomi 101.
LOH KER CHEAN
Naib Ketua Wanita KEADILAN