All Media Release, Artikel | BM, Kenyataan Media | BM

Bela Veteran Tentera, Cakna Pada Warga Tua

1. Saya berasa amat kesal dengan nasib lebih 300,000 orang veteran tentera yang kini hidup susah dan 75 peratus daripadanya termasuk dalam kategori B40 selepas mempertaruhkan masa dan nyawa berbakti kepada negara sewaktu berada dalam perkhidmatan.
 
2. Luahan peserta–peserta Himpunan Reunion Veteran pada 6 Jun 2022 mengenai kehidupan mereka sebagai pesara, warga emas dan penerima pencen merupakan riak-riak awal kepada masalah masyarakat menua yang menanti negara menjelang 2030.

3. Merujuk kepada laporan berita berkenaan himpunan tersebut, veteran tentera yang ditemui mengaku hidup mereka kini tersepit dalam usia persaraan mereka menghadapi masalah duit pencen yang tidak mencukupi ketika berdepan cabaran kos sara hidup yang makin meningkat.

4. Situasi ini bukanlah satu perkara terpencil yang hanya berlaku kepada kumpulan pesara tentera semata-mata. Dalam tempoh 8 tahun lagi negara ini akan menjadi negara tua apabila 15% daripada penduduk Malaysia merupakan warga emas yang berumur 60 tahun ke atas.
 
5. Kalau kerajaan yang memerintah negara sekarang pun sudah tidak mampu menjamin kesejahteraan dan menjaga kebajikan pesara tentera yang berjasa pada negara, bagaimanakah pula dengan nasib warga emas yang terdiri daripada orang awam kelak?

6. Oleh itu, selain daripada Menteri Pertahanan yang perlu mengambil tindakan segera bagi menangani rintihan pesara tentera ini, seluruh jentera kerajaan wajib memberikan perhatian penuh dan segera kepada aspek kebajikan sosial dan perkhidmatan penjagaan warga emas.

7. Laksanakan pendekatan yang menyeluruh dan segera bagi memastikan jaringan keselamatan dan kebajikan sosial untuk golongan ini mudah diakses dan berpatutan bagi meringankan beban kewangan warga emas dan veteran tentera yang banyak jasa dan sumbangannya kepada negara dan mampu mengharungi hari tua dengan bermaruah.

Loh Ker Chean
Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN