Pandangan Saya
Sekolah Bukan Sekadar Tempat Belajar: Mengapa Kita Memerlukan Pekerja Sosial Profesional? (Bahagian 1)
Selama ini, apabila kita membicarakan tentang sistem pendidikan, perhatian lazimnya tertumpu kepada pencapaian akademik, kualiti pengajaran, kemudahan sekolah dan pembangunan sahsiah murid. Namun, ada satu dimensi penting yang semakin perlu diberikan perhatian, iaitu keadaan sosial dan persekitaran kehidupan murid yang mempengaruhi kemampuan mereka untuk belajar, berkembang dan mengikuti sesi persekolahan dengan selamat.
Hakikatnya, tidak semua murid datang ke sekolah dengan peluang dan keadaan kehidupan yang sama. Ada yang berhadapan kemiskinan, pengabaian, konflik keluarga, penderaan, keganasan rumah tangga, buli, diskriminasi dan pelbagai bentuk kerentanan sosial. Ada juga murid yang mengalami masalah kehadiran kronik dan berisiko tercicir bukan kerana tidak berminat untuk belajar, tetapi kerana berhadapan halangan sosial dan keluarga yang tidak mampu mereka atasi sendiri.
Persoalannya, siapakah yang bertanggungjawab untuk mengenal pasti, menilai dan membantu menyelesaikan masalah-masalah ini secara profesional?
Guru merupakan tunjang utama sistem pendidikan. Tanggungjawab mereka ialah mendidik, membimbing dan membangunkan potensi murid. Guru bimbingan dan kaunseling pula menyediakan sokongan psikologi, emosi dan perkembangan diri murid. Pentadbir sekolah dan guru disiplin mempunyai tanggungjawab memastikan peraturan serta keselamatan sekolah dipatuhi.
Namun, terdapat satu ruang kepakaran yang belum diberikan kedudukan khusus dalam ekosistem sekolah, iaitu pengurusan kes sosial secara profesional.
Masalah sosial tidak boleh diselesaikan dengan pendekatan disiplin semata-mata
Sebagai contoh, masalah seorang murid yang kerap ponteng sekolah tidak dapat ditangani menerusi pendekatan lazim yang mungkin melibatkan amaran, tindakan disiplin, panggilan kepada ibu bapa dan pemantauan kehadiran.
Hal ini kerana, bagaimana jika murid tersebut sebenarnya tidak hadir kerana perlu menjaga adik-beradik ketika ibu bapanya bekerja? Bagaimana jika keluarga murid itu mengalami kesempitan kewangan sehingga murid tidak mempunyai wang untuk pengangkutan atau keperluan persekolahan? Atau bagaimana jika murid itu menjadi mangsa penderaan di rumah dan sekolah merupakan satu-satunya tempat yang memberikannya sedikit rasa selamat?
Begitu juga dengan kes buli. Tindakan disiplin terhadap pelaku dan perlindungan terhadap mangsa sememangnya penting. Namun, pengurusan kes yang menyeluruh turut memerlukan penilaian terhadap faktor keluarga, persekitaran sosial, dinamik hubungan rakan sebaya dan risiko kejadian berulang.
Tanpa pemahaman terhadap faktor-faktor ini, sekolah mungkin hanya menangani simptom sesuatu masalah tanpa menyelesaikan punca sebenar.
Di sinilah kepakaran pekerja sosial sekolah diperlukan.
Mengisi jurang dalam sistem sokongan murid
Pekerja sosial sekolah mempunyai latihan khusus dalam penilaian keperluan sosial, pengurusan kes, intervensi keluarga, advokasi, perlindungan dan penyelarasan bantuan.
Dalam konteks sekolah, mereka boleh bertindak sebagai penghubung antara murid, keluarga, pihak sekolah, komuniti dan agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Peranan mereka bukan untuk mengambil alih tugas guru atau kaunselor. Sebaliknya, mereka melengkapkan sistem sokongan sedia ada dengan menyediakan kepakaran dalam menangani dimensi sosial sesuatu masalah.
Sebagai contoh, apabila seorang murid dikenal pasti berisiko tercicir, pekerja sosial boleh menjalankan penilaian terhadap keadaan keluarga, mengenal pasti halangan sosial, menyediakan pelan intervensi dan menyelaras bantuan dengan agensi berkaitan.
Jika terdapat petunjuk penderaan atau pengabaian, pekerja sosial boleh mengaktifkan prosedur perlindungan serta membuat rujukan kepada pihak berkuasa yang mempunyai bidang kuasa dalam hal berkenaan.
Pendekatan ini membolehkan sekolah berfungsi lebih daripada sekadar mengenal pasti masalah kepada pengurusan kes yang lebih sistematik dan berterusan.
Bagaimanapun, kita perlu memahami bahawa penempatan pekerja sosial sekolah bukanlah penyelesaian tunggal kepada semua masalah yang dihadapi oleh sekolah. Isu seperti buli, keciciran, penderaan, kemiskinan dan kesihatan mental murid mempunyai punca yang pelbagai serta memerlukan penglibatan banyak pihak. Kehadiran pekerja sosial sekolah tidak akan menggantikan tanggungjawab guru, kaunselor, pentadbir sekolah, ibu bapa atau agensi kerajaan yang lain.
Sebaliknya, penempatan pekerja sosial sekolah merupakan satu permulaan yang baik untuk memperkukuh sistem sokongan murid melalui kepakaran khusus dalam kerja sosial. Ia menyediakan mekanisme profesional untuk mengenal pasti masalah, menilai keperluan, mengurus kes dan menyelaras intervensi dengan pihak yang mempunyai kepakaran serta bidang kuasa masing-masing. Daripada situ, sekolah boleh membangunkan pendekatan yang lebih menyeluruh dan bersepadu dalam menangani masalah sosial murid.
Melindungi hak murid untuk mendapatkan pendidikan
Pendidikan bukan sekadar proses menyampaikan ilmu pengetahuan. Pendidikan juga merupakan hak setiap kanak-kanak untuk mendapat peluang berkembang dalam persekitaran yang selamat, bermaruah dan inklusif.
Murid daripada keluarga berpendapatan rendah, murid kurang upaya, kanak-kanak yang berhadapan masalah penjagaan serta mereka yang tinggal dalam komuniti rentan tidak sepatutnya kehilangan peluang pendidikan hanya kerana faktor sosial yang berada di luar kawalan mereka.
Justeru, sistem pendidikan perlu mempunyai mekanisme yang mampu mengenal pasti dan menangani halangan-halangan tersebut.
Keperluan ini juga adalah selari dengan perkembangan dasar KPM. Polisi Perlindungan Murid Sekolah Bawah KPM melalui Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 4 Tahun 2026 dan Garis Panduan Pengurusan Sekolah Selamat melalui SPI Bilangan 3 Tahun 2026 menunjukkan bahawa perlindungan dan keselamatan murid merupakan komponen penting dalam pengurusan pendidikan.
Namun, dasar dan garis panduan sahaja tidak mencukupi sekiranya sekolah tidak mempunyai tenaga profesional yang khusus untuk menguruskan kes sosial yang kompleks.
Pelaburan dalam kesejahteraan murid ialah pelaburan dalam masa depan negara
Kita perlu mengubah cara melihat peranan sekolah. Sekolah bukan sekadar institusi akademik, tetapi juga sebahagian daripada ekosistem perlindungan dan pembangunan kanak-kanak.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) wajar mempertimbangkan penempatan Pekerja Sosial Sekolah (PSS) sebagai satu komponen baharu dalam sistem sokongan murid.
Penempatan Pekerja Sosial Sekolah boleh dibuat berdasarkan kluster sekolah, tahap risiko, bilangan murid dan beban kes sebagai permulaan. Kerajaan juga boleh merealisasikan setiap sekolah mempunyai sekurang – kurangnya seorang pekerja sosial sendiri sebagai perancangan jangka panjang bergantung kepada keperluan.
Kita juga tidak seharusnya meletakkan harapan bahawa kehadiran pekerja sosial sekolah akan menyelesaikan semua masalah yang berlaku di sekolah. Masalah sosial murid tidak boleh ditangani oleh satu profesion atau satu agensi sahaja. Isu ini memerlukan kerjasama berterusan antara pihak sekolah, keluarga, komuniti dan pelbagai agensi kerajaan.
Namun, mewujudkan peranan khusus bagi pekerja sosial sekolah dalam sistem pendidikan merupakan satu langkah permulaan yang penting. Langkah ini dapat mengisi jurang kepakaran dalam pengurusan kes sosial, memperkemas penyelarasan bantuan dan membolehkan masalah murid ditangani dengan lebih sistematik. Pada masa yang sama, ia membuka ruang untuk membangunkan sistem sokongan murid yang lebih menyeluruh pada masa hadapan.
Matlamatnya adalah untuk memastikan setiap murid yang memerlukan bantuan sosial mendapat akses kepada intervensi profesional tanpa mengira latar belakang keluarga atau lokasi sekolah.
Akhirnya, kejayaan sistem pendidikan tidak seharusnya diukur melalui keputusan peperiksaan semata-mata. Kita juga perlu bertanya berapa ramai murid yang berjaya dilindungi daripada penderaan, diselamatkan daripada keciciran, dibantu mengatasi kesukaran hidup dan diberikan peluang untuk membina masa depan yang lebih baik.
Sekolah yang baik bukan sahaja melahirkan murid yang cemerlang dalam akademik, tetapi juga mempunyai sistem sokongan yang memastikan tiada murid tercicir daripada pendidikan hanya kerana masalah sosial yang gagal kita tangani.