Saranan untuk menempatkan pekerja sosial sekolah yang saya utarakan awal minggu lalu bagi membantu guru menangani aspek kesejahteraan dan kesihatan mental murid dibuat bertitik tolak daripada dua faktor utama.
Saranan tersebut bukan sahaja satu usaha untuk memperkukuh sistem sokongan kepada murid dan membantu guru berdepan cabaran sosial yang semakin kompleks, tetapi saranan itu juga sebahagian daripada usaha mengiktiraf dan mengawal selia profesion kerja sosial di samping membuka ruang kerjaya baharu dalam bidang pekerjaan sosial.
Dalam konteks ini, saya menyambut baik pelulusan Rang Undang-Undang Profesion Pekerja Sosial 2026 di Dewan Rakyat pada Julai lalu. Dengan adanya kerangka perundangan yang jelas, bidang kerja sosial berpotensi berkembang sebagai satu profesion yang lebih tersusun, mempunyai standard profesional dan menawarkan laluan kerjaya yang lebih jelas kepada generasi muda.
Padang masa sama, kita juga perlu membezakan peranan guru pembimbing atau guru yang memberikan sokongan secara sukarela dengan pekerja sosial sekolah yang mendapat latihan profesional.
Peranan guru dalam memberikan bimbingan kepada murid amat penting, tetapi mereka turut mempunyai tanggungjawab utama terhadap pengajaran dan pembelajaran. Guru pembimbing bertanggungjawab terhadap pembangunan akademik murid, membimbing hala tuju kerjaya, dan sahsiah dalaman murid dalam skop operasi sekolah. Mereka juga melaksanakan sesi kaunseling dan menyelia aspek motivasi dan disiplin murid pada peringkat sekolah.
Pekerja sosial sekolah pula boleh memberikan tumpuan khusus kepada faktor sosial dan keluarga yang mempengaruhi kesejahteraan serta pendidikan murid. Mereka beroperasi dalam ekosistem murid yang merangkumi sekolah, ziarah rumah, agensi kebajikan dan mahkamah jika perlu. Mereka juga menilai isu sistemik keluarga, meneliti isu kemiskinan tegar, kesihatan mental kronik, dan bentuk bantuan yang diperlukan dengan menjadi ejen penghubung agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, lembaga zakat, dan perkhidmatan sokongan berkaitan.
Pendekatan ini penting kerana cabaran yang dihadapi murid hari ini tidak semestinya boleh diselesaikan hanya melalui bilik darjah atau sesi bimbingan.
Jika masalah sosial dan keluarga tidak dikenal pasti serta ditangani lebih awal, ia boleh memberi kesan kepada pendidikan, perkembangan dan masa depan seseorang anak, termasuk meningkatkan risiko keciciran dan kewujudan lost generation.
Pada masa sama, perkembangan profesion ini boleh membuka ruang pekerjaan baharu kepada anak muda yang berminat dalam bidang kerja sosial, pendidikan, pembangunan manusia dan khidmat masyarakat. Mereka bukan sahaja mempunyai peluang untuk bekerja dalam bidang yang mempunyai nilai sosial yang tinggi, malah dapat membina kerjaya berdasarkan pendidikan, latihan dan kepakaran profesional.
Dalam menghadapi era pascanormal yang dicirikan oleh perubahan pantas, ketidakpastian dan cabaran sosial yang semakin kompleks, kita memerlukan tenaga profesional yang mampu memberi sokongan kepada rakyat pada pelbagai peringkat.
Pekerja sosial sekolah boleh menjadi antara manifestasi awal bagaimana profesion ini diterjemahkan kepada keperluan sebenar masyarakat, sekali gus membuka laluan kerjaya baharu kepada generasi muda.