1. Wanita KEADILAN ingin menyatakan sokongan penuh terhadap Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), yang menjadi tuan rumah kunjungan delegasi Taliban, baru-baru ini.
2. Sungguhpun Malaysia merupakan sebuah negara majoriti muslim yang mengangkat Islam sebagai agama rasmi, kita memiliki satu sistem pendidikan yang inklusif, merangkumi aliran bahasa dan budaya yang pelbagai. Lebih penting, Menteri Pendidikan merangkap Ketua Wanita KEADILAN, Fadhlina Sidek menampilkan kejayaan Malaysia dalam aspek kesamarataan gender, menegaskan bahawa pendidikan adalah hak asasi untuk semua, tanpa mengira gender, agama dan etnik ketika menyambut delegasi Taliban.
3. Kita sedia maklum, masyarakat antarabangsa, termasuk tanah air kita sedang berdepan dengan cabaran pemecahan sosial yang ketara, dimangkinkan dengan operasi berasaskan algoritma di platform media sosial. Komuniti berada dalam zon selesa masing-masing, saling membenarkan prejudis sesama sendiri tanpa mengambil kira pandangan yang berbeza.
Sebagai pemimpin politik, kita bertanggungjawab untuk membina jambatan, meneruskan usaha perhubungan, agar mereka yang berbeza pandangan kembali mencari jalan tengah dengan pendekatan yang sederhana; dan bukannya berdasarkan sentimen perkauman masing-masing untuk mengaut kepentingan politik, sehingga meruntuhkan hubungan masyarakat.
4. Wanita KEADILAN tetap yakin dan berbangga dengan model Malaysia. Kami ingin tegaskan bahawa kerajaan sedang menampilkan nilai-nilai Malaysia yang progresif kepada Taliban dan bukan menerima fahaman agar hak pendidikan wanita dinafikan. Andainya KPM berjaya meyakinkan Taliban untuk membuka semula pintu sekolah kepada kaum wanita, maka ia adalah satu langkah ke hadapan yang amat bermakna untuk tamadun dunia antarabangsa.
5. Tatkala dunia menyaksikan kebangkitan kuasa sayap kanan yang ekstrim, Malaysia mampu memainkan peranan untuk meredakan suasana yang tegang dengan menampilkan model Malaysia yang sederhana, progresif dan inklusif. Kita berbangga kerana hak pendidikan yang sama rata kepada kaum wanita menjadi prinsip yang dipegang bersama, tanpa mengira kaum, agama dan gender di Malaysia. Malaysia boleh menunjukkan tauladan terhadap negara Islam yang lain.
6. Kami menyeru agar rakyat Malaysia terus memberi sokongan kepada YBM Fadhlina Sidek, supaya kita terus ke depan dalam usaha memperjuangkan hak wanita dengan konsep wasatiyyah iaitu kesederhanaan di dalam memimpin.