Saya menyambut baik pelancaran PRISMAnita oleh Anwar Ibrahim sebagai satu usaha penting untuk memperkukuh sistem sokongan kepada wanita di Malaysia.
Inisiatif ini berpotensi menjadi platform bersepadu yang memudahkan wanita untuk mendapatkan maklumat, sokongan dan bantuan dengan lebih cepat, khususnya dalam situasi yang memerlukan intervensi segera.
Sebagai pusat rujukan sehenti, PRISMAnita memberi lebih banyak pilihan kepada wanita yang berdepan kesukaran.
Dalam kehidupan, jarang sekali hanya ada satu pilihan atau satu pengakhiran. Lazimnya, masih ada jalan, bantuan dan peluang lain untuk bermula semula.
Harapannya, melalui sistem sokongan seperti ini, lebih banyak pintu akan terbuka kepada wanita yang berdepan krisis dalam kehidupan mereka.
Apabila seseorang berada dalam keadaan terdesak, akses kepada sokongan dan intervensi yang tepat pada masanya boleh membawa makna yang sangat besar.
Sokongan dan intervensi ini memberi keyakinan bahawa situasi yang dihadapi mereka bukanlah bermakna segala-galanya sudah berakhir. Masih ada penyelesaian, masih ada harapan, dan masih ada pilihan untuk meneruskan kehidupan dengan lebih baik.
Bagi memastikan inisiatif ini mencapai potensi sepenuhnya, beberapa perkara wajar diberi perhatian pada peringkat pelaksanaan:
Pertama, platform ini perlu memastikan proses mendapatkan bantuan benar-benar pantas dan mesra pengguna, khususnya bagi wanita yang berada dalam situasi krisis.
Kedua, saya menyeru NGO serta organisasi tempatan di seluruh negara untuk turut menyokong inisiatif ini. Melalui pendekatan “whole-of-nation”, kita boleh memperkukuh jaringan perlindungan sosial bagi memastikan wanita yang memerlukan bantuan tidak terbiar sendirian.
Ketiga, capaian kepada wanita di luar bandar serta golongan rentan perlu diberikan perhatian khusus supaya manfaat PRISMAnita dirasai secara menyeluruh di seluruh negara.
Akhirnya, kejayaan PRISMAnita bukan hanya diukur melalui pelancarannya, tetapi melalui impak sebenar kepada kehidupan wanita yang memerlukan bantuan.
Dengan pelaksanaan yang berkesan dan sokongan semua pihak, inisiatif ini boleh menjadi satu langkah penting dalam melindungi serta memperkasakan golongan wanita yang merupakan ibu, anak perempuan dan saudara perempuan kita, di seluruh Malaysia.