Ketika kempen PRU-12, suatu peristiwa yang terpahat dalam ingatan saya ialah pertemuan saya dengan sepasang suami isteri muda yang sebaya dengan saya semasa pasukan kempen KEADILAN menjalankan lawatan rumah ke rumah di kawasan perumahan berhampiran dengan shopping mall terbesar di Pulau Pinang.
Saya terserempak dengan suami dan isteri muda yang menunggang motorsikal yang baru pulang dari luar. Rumah setinggan yang didiami oleh mereka ini mempunyai ruang berlantaikan simen di depan rumah, dapur tambahannya menggunakan atap zink dan berdindingkan batu setinggi 4 kaki dan selebihnya diikat dengan jaring besi. Di dapurnya, terdapat beberapa kelengkapan asas dan peralatan dapur yang lusuh.
Dari perbualan kami, saya difahamkan bahawa mereka menyewa rumah ini dan sudah bekerja selama 3 tahun di shopping mall tersebut. Gaji mereka cuma cukup untuk dua orang sahaja dan tidak pernah terfikir untuk memiliki rumah mereka sendiri.
Peristiwa tersebut telah mencetuskan pelbagai persoalan dalam fikiran saya pada masa itu. Bagaimanakah mereka boleh memiliki rumah mereka sendiri? Bagaimanakah anak-anak mereka berpeluang untuk meningkatkan taraf Pendidikan?
Melalui pengalaman kempen tersebut, saya menyedari bahawa penyelesaian kepada isu-isu masyarakat seperti miskin bandar, pendidikan adalah merentasi kaum dan agama. Akan tetapi rejim pemerintah ketika itu adalah sebuah kerajaan yang memerintah rakyat berdasarkan prinsip pisah dan perintah. Isu rakyat sebenar telah dikaburkan oleh politikus yang memainkan sentimen perkauman.
Selepas itu, saya juga nampak dengan lebih jelas apa yang mendorong saya untuk dekat kepada KEADILAN.
Kini, daripada seorang anak muda yang marah dengan isu perkauman dalam negara, saya menemui sifat yang paling bernilai yang tertanam dalam diri saya tetapi berjaya dicungkil KEADILAN iaitu EMPATI. Parti ini menanam dan memupuk sifat untuk memahami dan berkongsi perasaan dan penderitaan orang lain dalam hati anggota parti.
KEADILAN ditubuhkan menerusi gerakan Reformasi yang tercetus selepas penganiayaan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998. Rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang merasai penderitaan yang dialami Anwar. Mereka turun ke jalan raya berdemonstrasi bagi berkongsi penderitaan dan rasa teraniaya yang mengisi wacana nasional pada masa itu.
Dari situ, saya berpendapat bahawa sifat empati adalah asas kepada politik yang meraikan kepelbagaian. Kita tidak perlu berada dalam situasi yang sama untuk memahami dan berkongsi perasaan orang lain. Contohnya, isu wanita tidak semestinya disuarakan oleh golongan hawa sahaja dan suara anak muda tidak semestinya dibawakan oleh wakil anak muda sahaja. Sama juga dengan isu kemiskinan, cabaran hidup sebagai golongan kelainan berupaya, serta diskriminasi berasaskan kaum dan agama.
Seorang ahli politik atau pemimpin yang baik mempunyai sifat empati dan berupaya untuk merasai dan memahami sesuatu isu daripada sudut pandang orang lain.
KEADILAN adalah wadah politik yang melahirkan pemimpin sebegini. Kini, kita sedang sama-sama bertarung melawan wabak Covid-19. Jika kehidupan dulu tidak akan lagi kembali seperti biasa, kita semua perlu berganding bahu untuk membina negara baharu dengan sifat empati dalam suasana “new normal” ini. Saya Loh Ker Chean, anak Selangor dan mendiami di Petaling Jaya.