All Media Release, Kenyataan Media | BM

Wanita KEADILAN Cabar PM Muhyiddin Benarkan Perhimpunan Agung Umno Berlangsung

1. Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan pada 7 Jan 2021 mengumumkan bahawa usul untuk memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sekaligus mempertahankan kerjasama dengan PAS akan dibawa ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pada 31 Januari 2021.

2. Berdasarkan perkembangan ini, Wanita KEADILAN mencabar Perdana Menteri merangkap Pengerusi BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya membenarkan PAU berlangsung tanpa menggunakan sebarang helah politik termasuk alasan wabak Covid-19 untuk menghalang PAU.

3. Wanita KEADILAN melontarkan cabaran ini kerana mengambil iktibar daripada insiden persembahan cadangan pengisytiharan darurat di seluruh negara ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong pada 2020 oleh Perdana Menteri demi kepentingan politik peribadinya.

4. Memasuki dekad baru ini, rakyat sedia maklum akan hakikat ketidakstabilan kerajaan Perikatan Nasional dalam mentadbir negara. Kemelut persekongkolan PN yang masih tidak usai sejak tercetusnya Langkah Sheraton merencatkan usaha memerangi wabak Covid -19 sekaligus menjejaskan keyakinan pelabur luar negara untuk melabur dalam negara.

5. Oleh itu, Tan Sri Muhyiddin perlu mengutamakan penyelesaian kemelut ini dengan menerima keputusan PAU kelak sama ada Umno akan kekal dalam menyokong beliau atau tidak selaku PM dengan majoriti paling tipis dalam sejarah Malaysia.

6. Malaysia telah menunjukkan teladan yang terbaik kepada dunia terutamanya negara-negara yang mendukung sistem demokrasi pada Pilihanraya Umum ke-14 yang lalu apabila peralihan kuasa yang aman dan damai berlaku dalam Malaysia.

7. Wanita KEADILAN berharap agar PM tidak mencontohi Presiden Amerika Syarikat Donald Trumph yang enggan memudahkan proses peralihan kuasa sehingga menyebabkan tragedi berlaku di AS kebelakangan ini.

8. Saya menyeru PM supaya mengizinkan peralihan kuasa berlaku dengan aman sekiranya beliau kehilangan sokongan UMNO menerusi PAU pada hujung bulan ini.

Related Posts