Kenapa? Ini adalah kerana apabila kita sudah berjaya memenuhi objektif sesebuah persatuan tersebut, maknanya tiada keperluan lagi untuk persatuan tersebut untuk diteruskan.
Kalau kita menggunakan fahaman yang sama dalam melihat kewujudan organisasi sayap wanita dalam wadah politik sekarang, apakah roadmap yang ingin kita lakarkan untuk memenuhi objektifnya lalu membubar sayap wanita pada suatu hari nanti?
Fungsi sayap wanita adalah sebagai medan tambahan dan inkubator untuk melahirkan lebih ramai pemimpin wanita yang berbakat di semua peringkat. KPI kuota 30 peratus wakil wanita merupakan salah satu tindakan afirmatif yang diambil oleh parti politik untuk cuba meningkatkan kadar penglibatan kaum wanita, mengambil jawatan tinggi dan melibat diri dalam pejabat awam.
Pada hakikatnya, perjuangan sayap wanita tidak dapat dipisahkan daripada agenda perjuangan kesaksamaan gender dan pemerkasaan wanita yang banyak dipengaruhi ideologi feminisme.
Tidak boleh dinafikan bahawa terdapat hasil penyelidikan Universiti Cambridge (David M Greenberg, 2018) yang membuktikan bahawa wanita secara genetik lebih bersifat empati, dan sifat tersebut adalah amat penting bagi seseorang politikus dalam proses membuat dasar yang inklusif dan meraikan kepelbagaian.
Oleh itu, adalah penting untuk parti politik melahirkan lebih banyak pemimpin kaum wanita dan usaha kita tidak harus berhenti di kuota 30 peratus sahaja. Angka kuota wanita tersebut berfungsi sebagai sasaran yang boleh diukur dan diperhatikan dalam konteks sains politik dan statistik sejarah bagi aktivisme feminisme.
Malah, jangan kita lupa bahawa visi kita sepatutnya untuk berada selangkah ke hadapan, matlamat akhir perjuangan aktivisme dan gerakan secara umum adalah untuk membina kehidupan yang berkualiti dan sejahtera untuk semua insan dan alam sekitar secara lestari.
Inilah matlamat sebenar yang perlu kita capai. Jika suatu hari nanti, semua politikus khususnya politikus lelaki faham dan berpegang dengan fahaman ini, maka tidak mustahil sayap wanita ini boleh dibubarkan.
Hakikatnya, untuk mencapai objektif ini, proses pembebasan minda perlu berlaku di antara gender dan banyak pendekatan baharu perlu digarap sebelum mencapai matlamat ini.
Sebagai contoh, ramai yang terlibat dalam bidang politik tidak kira wanita atau lelaki masih mengamalkan fahaman bahawa isu yang berkaitan dengan wanita lebih sesuai dibawa oleh golongan hawa. Isu seperti keganasan rumah tangga, gangguan seksual, seksime dan sebagainya.
Kita jarang memperhalusi cara penyelesaian dari sudut pemangsa dan punca seperti kempen kesihatan mental yang memfokuskan khidmat kaunseling kepada kaum lelaki.
‘Wanita’ merupakan objek utama dalam penerbitan media atau artikel penyelidikan yang berkaitan dengan perjuangan pemerkasaan wanita atau kesaksamaan gender. Statistik yang dipapar sering kali mengambil sudut perbandingan jurang kaum lelaki berbanding kaum wanita dalam pelbagai bidang seperti guna tenaga, pendidikan, ekonomi, sosial, kesihatan dan politik.
Saya tidak pasti adakah naratif perbandingan yang tertanam dalam masyarakat sekian lama ini telah disalah ertikan oleh masyarakat, yang perjuangan tersebut merupakan sesuatu persaingan di antara kaum wanita dan kaum lelaki.
Kita tidak boleh lawan seksisme dengan seksisme. Begitu juga dengan perkauman, kita tidak boleh lawan perkauman dengan perkauman atau perspektif perkauman.
Kaum wanita dan kaum lelaki bukan memainkan peranan bertentangan dalam usaha perjuangan kesaksamaan gender tetapi saling melengkapi, memahami dan bekerjasama dalam keluarga dan masyarakat.
Sepanjang pandemik wabak Covid-19 ini, Perintah Kawalan Pergerakan membuatkan rakyat Malaysia kembali menumpukan perhatian kepada keluarga induk atau rumah tangganya sendiri. Keluarga merupakan unit asas dalam pembinaan masyarakat dan penjanaan ekonomi negara. Negara tidak dapat berfungsi tanpa asas yang kukuh ini.
Hari ini pembinaan dan pengoperasian rumah tangga telah banyak berubah dan tidak lagi terhad kepada sesuatu formula sahaja. Justeru itu, apabila timbul perbahasan isu yang berkaitan pengurusan dan perancangan rumah tangga, pelbagai dasar baharu perlu digubal dan pelbagai pilihan sistem sokongan baharu perlu disediakan oleh kerajaan.
Ini adalah untuk menjaga kesejahteraan dan kualiti kehidupan rumah tangga yang selari dengan peredaran zaman dan perkembangan sosioekonomi masyarakat.
Perbahasan isu-isu seperti cuti bersalin dan menjaga anak, perkhidmatan menjaga anak, isu kaum wanita kembali ke tempat kerja, isu penjagaan anggota keluarga yang telah berusia tanpa gaji dan sebagainya perlu dilihat sebagai cabaran yang dihadapi oleh sesebuah unit rumah tangga.
Sebagai contoh, keibubapaan dalam keluarga merupakan tanggungjawab bersama isteri dan suami. Jika kaum lelaki juga layak mengambil cuti menjaga anak seperti kaum wanita, pembebasan minda akan berlaku bahawa kaum lelaki boleh memainkan peranan pengasuh dan memberi ruang kepada isteri menumpu perhatian pada kerjayaannya. Perbahasan dan dasar semasa kadang kala terlalu cenderung kepada keperluan wanita bukan keperluan rumah tangga.