All Media Release, Dasar | Policy | 政策, Kenyataan Media | BM

Wanita KEADILAN kesal Menteri MAFI gagal Bantu Pekebun dalam Tempoh PKP

1. Merujuk kepada laporan media NST yang bertajuk “MCO: Cameron Highlands’ Strawberry Farmers Grapple with Catastrophic” bertarikh 6 Februari 2021, Pengerusi Persatuan Pekebun Sayur-sayuran Cameron Highlands melaporkan bahawa para pekebun strawberi sedang mengalami kerugian yang besar disebabkan oleh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

2. Saya mengambil maklum tentang situasi yang mendesak yang dihadapi oleh pekebun – pekebun strawberi di Cameron Highlands dan berasa kesal dengan kegagalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Ronald Kiandee membantu nasib para pekebun dalam masa yang sukar ini.

3. Dengan jelasnya, Menteri dan dua Timbalan Menteri MAFI tidak mengambil iktibar dari pelaksanaan PKP 1.0 pada tahun lalu yang telah memberi kesan buruk kepada rantaian bekalan makanan terutamanya pengeluaran pertanian dari Cameron Highlands.

4. Walaupun sudah selama satu tahun kita memerangi wabak Covid-19, Menteri – Menteri kita masih lagi tidak mempunyai penyelesaian yang berkesan terhadap gangguan rantaian bekalan makanan yang dihadapi oleh semua pihak semasa pelaksanaan PKP.

5. Pekebun dan petani yang mengalami kerugian besar musim ini akan menghadapi kesukaran pada musim akan datang bagi mengekalkan jumlah pengeluaran yang konsistent. Akibatnya, kemungkinan pekebun akan mengurangkan pengeluaran pertanian dan sekuriti makanan dalam negara akan terjejas.

6. Oleh itu, saya menggesa agar Menteri membantu dalam pengurusan logistik khususnya Sistem Rantai Dingin (Cold Chain System) melalui agensi kerajaan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) untuk menguruskan stok makanan yang menghadapi masalah logistik sewaktu pelaksanaan PKP.

7. Saya juga berharap agar Menteri telah bersiap sedia dengan rancangan dan langkah – langkah pencegahan bagi menangani cabaran krisis kekurangan makanan dunia susulan wabak Covid-19 yang telah diramalkan oleh Pertubuhan Makanan Dan Pertanian (FAO) sejak April, 2020.

Related Posts