All Media Release, Kenyataan Media | BM

Wanita KEADILAN Gesa Speaker Dewan Rakyat Tidak Melengahkan Penubuhan JPK Wanita

Merujuk kepada laporan media bertarikh 17 Sep 2020, YB Datuk Azhar Azizan Harun, Yang di-Pertua Dewan Rakyat berkata, penubuhan jawatankuasa pilihan khas Hal Ehwal Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Sosial masih dalam pertimbangan beliau.

Wanita KEADILAN berpendapat bahawa Dewan Rakyat tidak mempunyai sebarang alasan untuk menangguhkan penubuhan tersebut kerana kesejahteraan dan pembangunan institusi kekeluargaan dan sosial menerima kesan negatif daripada penularan pandemik Covid-19 secara keseluruhannya.

Kesan negatif yang menggugat kesejahteraan institusi kekeluargaan adalah seperti impak kekurangan pendapatan isi keluarga, kenaikan dalam kes keganasan keluarga, serta golongan wanita yang terlibat dengan pinjaman pakej Hijrah yang terjejas dan sebagainya.

Selain itu, penggubalan rang undang-undang (RUU) warga emas juga merupakan salah satu agenda utama dalam pembangunan keluarga dan masyarakat. Penubuhan jawatankuasa pilihan khas ini membolehkan ahli Jawatankuasa mempunyai masa yang mencukupi untuk membicarakan dan memperhalusi cadangan RUU dengan sewajarnya. Jika mengikut perancangan mantan YB Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Seri Dr Wan Azizah, ia akan dibentang di parlimen pada awal 2021.

Wanita KEADILAN ingin menegaskan sekali lagi akan kepentingan jawatankuasa pilihan khas wanita ini dan menggesa agar pihak YB Datuk Azhar Azizan Harun menubuhkan jawatankuasa pilihan khas wanita dengan serta-merta, tanpa sebarang pertimbangan.

Related Posts