Dasar | Policy | 政策, Kenyataan Media | BM

Pendigitalan Pentadbiran: Kerajaan Pilih Reformasi, Bukan Retorik

Pendigitalan Pentadbiran: Kerajaan MADANI Pilih Reformasi, Bukan Retorik

Wanita KEADILAN menyambut baik dan menyokong penuh seruan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar semua kementerian dan agensi kerajaan menerimaguna teknologi kecerdasan buatan (AI) serta pendigitalan secara menyeluruh dalam pentadbiran negara.

Seruan ini yang dibuat dalam Amanat Tahun Baharu 2026 semalam jelas mencerminkan keyakinan Perdana Menteri terhadap keupayaan jentera Kerajaan MADANI untuk melaksanakan reformasi sebenar, bukan sekadar slogan, bagi menyampaikan perkhidmatan awam yang lebih cekap, pantas dan telus kepada rakyat.

Dalam konteks ini, Wanita KEADILAN ingin menegaskan bahawa pendekatan berasaskan AI dan pendigitalan adalah jawapan kepada masalah sebenar rakyat, yang sebelum ini berdepan pelbagai cabaran dalam urusan mereka dengan sektor perkhidmatan awam.

Gagasan tersebut merupakan langkah maju ke ke hadapan, berbeza sama sekali dengan pendekatan pembangkang yang masih terperangkap dalam retorik politik tanpa pelan pentadbiran yang jelas.

Seruan untuk mengadaptasi teknologi dan pengukuhan perundangan bukan sahaja memudahkan penyampaian perkhidmatan awam, malah mengurangkan birokrasi yang tidak perlu serta meningkatkan kecekapan sistem kerajaan. Ini reformasi struktur, bukan janji kosong.

Wanita KEADILAN berpandangan bahawa agenda pendigitalan kerajaan ini selari dengan tuntutan rakyat yang mahukan sebuah pentadbiran yang cekap, telus dan bertanggungjawab.

Wanita KEADILAN sendiri memulakan inisiatif pendigitalan organisasi seawal tahun 2024 sewaktu saya memikul amanah sebagai Setiausaha Wanita KEADILAN.

Melalui pengenalan Sistem ASAK (Asimilasi Struktur Asas Kepimpinan), satu sistem dalam talian bagi pelaksanaan dan pelaporan Mesyuarat Agung Cabang Wanita bagi tahun 2024 dan 2025, Wanita KEADILAN telah membuktikan bahawa pendigitalan mampu meningkatkan kecekapan, ketelusan dan pematuhan organisasi.

Kejayaan ini seterusnya meyakinkan KEADILAN untuk melaksanakan inisiatif yang sama pada peringkat lebih luas.

Di bawah kepimpinan PMX, kerajaan memilih untuk memperbaiki sistem, bukan menyalahkan penjawat awam atau menakut-nakutkan rakyat dengan politik kebimbangan. Inilah perbezaan jelas antara kepimpinan yang membina negara dan politik yang sekadar mengejar polemik.

Wanita KEADILAN akan terus mendukung agenda reformasi pentadbiran ini demi memastikan manfaatnya dapat dirasai oleh semua lapisan rakyat, khususnya wanita, keluarga dan golongan rentan.

Loh Ker Chean
Naib Ketua Wanita Pusat
Parti KEADILAN Rakyat

Facebook : https://www.facebook.com/share/p/1AE44XHeF1/?mibextid=wwXIfr

Instagram : https://www.instagram.com/p/DTMicSkj5DU/?igsh=bXl6NTJvbjQ0c2Nt

X : https://x.com/lohkerchean?s=21

Thread : https://www.threads.com/@lohkerchean/post/DTMidDOj87L?xmt=AQF03X3Mi2sUI4HI6ZyOZrkhnT4hqFdcf4RfGIHHDPgBwjym_nmWf-CiIYbJpJ6h9fkSyRo&slof=1

Telegram : https://t.me/kerchean

Related Posts